Sunday, September 8, 2013

CARA PENGAGIHAN DAGING KORBAN NAZAR DAN KORBAN UNTUK SI MATI

Soalan; ASSALAMUALAIKUM USTAZ. BOLEHKAH DAGING KORBAN WAJIB/NAZAR/WASIAT DI AGIHKAN KEPADA ORANG KAYA.

MOHON PENJELASAN,TERIMA KASIH.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Masalah di atas terdapat khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut mazhab Syafiie dan Hanafi; korban wajib (dengan sebab nazar atau sebagainya) wajib disedekahkan kesemuanya iaitu dengan diberikan keseluruhan daging korban kepada fakir miskin dalam keadaan mentah, tidak boleh dimakan oleh orang yang melakukan korban dan ahli keluarganya dan tidak boleh diberikan kepada orang kaya.

Namun mazhab Maliki dan Hanbali; korban wajib tidak ada beza dengan korban sunat dari segi pengagihan dagingnya, iaitu boleh dimakan sama oleh orang yang melakukan korban dan keluarganya dan boleh diberikan kepada orang kaya.

2. Korban yang dilakukan bagi pihak orang telah mati (dengan wasiat darinya atau tidak) juga sama hukumnya seperti tadi di sisi mazhab Syafiie dan Hanafi; keseluruhan dagingnya menjadi hak fakir miskin, iaitu wajib disedekahkan kepada mereka, tidak boleh dinikmati oleh orang yang melaku korban dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya. Adapun di sisi mazhab Maliki dan Hanbali; ia sama seperti daging korban yang lain, cuma pahalanya sahaja pergi kepada si mati.

Untuk penjelasan lebih lengkap tentang cara pengagihan daging korban, sila baca jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2006/12/cara-terbaik-mengagihkan-daging-korban.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/103-104 (perkataan ‘udhiyah’).
2. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Dr. Wahbah az-Zuhaili.

0 comments:

 

Copyright © LAMAN SOAL JAWAB AGAMA Design by Free CSS Templates | Blogger Theme by BTDesigner | Powered by Blogger