Showing posts with label Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Ibadah. Show all posts

Thursday, October 3, 2013

AQIQAH UNTUK ANAK ANGKAT

Soalan; assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka, aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk mazhab Syafiie.

Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing (Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).

Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan membelanya.

Rujukan;

1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
2. Fathul-Bari, 9/595.
3. Subulus-Salam;
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671.

Wednesday, October 2, 2013

BUAT KORBAN UNTUK ANAK YANG BELUM BALIGH

Soalan; Boleh atau tidak ibu bapa membuat ibadah qurban untuk anak yang belum baligh. Ada terbaca syarat untuk korban hendaklah mencapai akil baligh dan berakal.

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie; wali (penjaga)[1] dibolehkan untuk melakukan korban bagi anak jagaannya yang masih kecil (belum baligh), dengan syarat binatang korban datang dari hartanya (yakni dibeli dengan wangnya, bukan wang si anak). Dia seolah menghadiahkan binatang itu kepada si anak, kemudian melakukan korban bagi pihaknya, maka untuknya pahala hadiah dan untuk si anak pula pahala korban. Adapun melakukan korban dengan mengambil dari harta si anak, tidak dibolehkan.

Secara umum, hukum melakukan ibadah korban untuk orang lain –menurut mazhab Syafiie- adalah seperti berikut;

1. Melakukan korban untuk orang yang telah meninggal; terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam mazhab Syafiie sendiri. Sebahagian ulamak berpendapat; dibolehkan kerana ia sebahagian dari sedekah dan telah ijmak para ulamak bahawa sedekah bagi pihak si mati adalah sah, berguna untuknya dan sampai pahala kepadanya. Sebahagian ulamak berpendapat; berkorban untuk si mati hanya sah jika dengan pesanan/wasiat darinya. Jika tanpa pesanan/wasiatnya, tidak sah korban untuknya.

2. Melakukan korban untuk orang yang masih hidup yang telah baligh (termasuk anak); tidak sah korban untuknya melainkan dengan keizinannya.

3. Melakukan korban untuk anak yang belum baligh; hukumnya seperti di atas tadi.

4. Melakukan korban untuk diri sendiri, tetapi menyertakan orang lain dalam pahalanya (yakni meniatkan pahalanya untuk orang lain sama), juga dibolehkan.

Rujukan;

1. al-Majmuk, Imam an-Nawawi, 8/299.
2. Mughni al-Muhtaj, 6/137.
3. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/80 (perkataan ‘udhiyah’), 45/197 (perkataan ‘walad’).


[1] Iaitu bapa atau datuknya (al-mausu’ah).

Tuesday, September 24, 2013

BAGAIMANA MENGALIHKAN ORANG SEDANG NAZAK KE ARAH QIBLAT?

Soalan; Askm ustaz. Saya ada satu persoalan berkaitan dgn org yg sedang nazak sakit dan org mati. Soalan saya. Kemana kah arah kaki org yg tersebut di atas sepatutnya hendak dihalakan, ketika sesorang itu sedang sakit atau pun meninggal dunia, adakah hendak dihalakan kaki ke arah kiblat ataupun sebaliknya. Saya minta ustaz tolonglg huraikan kepada saya, berserta dgn hadis dan nas2 berkaitan soalan saya tersebut, kerana ada sedikit percanggahan pendapat berkaitan hal ini. Terima kasih..Askm.

Jawapan;

1. Mengalihkan orang yang sedang nazak (hampir mati) ke arah qiblat –apabila nampak tanda-tanda hampir mati padanya[1]- adalah sunat dengan sepakat para ulamak kerana qiblat adalah arah yang paling baik sebagaimana sabda Nabi SAW; “Sesungguh bagi setiap perkara ada yang terbaik/paling utama. Sesungguhnya yang terbaik bagi segala kedudukan ialah yang menghala ke arah qiblat” (Al-Mu’jam al-Ausat, Imam at-Tabrani; 2354, dari Abu Hurairah RA. Status hadis; menurut al-Haitsami dan al-Munziri; isnadnya hasan. Lihat; Faidhul Qadier; 2421).

Diriwayatkan dari Abi Qatadah RA yang menceritakan; Ketika Nabi SAW tiba di Madinah baginda bertanya tentang al-Bara’ bin Ma’rur. Orang ramai menjawab; ‘Ya Rasulullah, dia telah meninggal. Dia memesankan agar 1/3 dari hartanya diserahkan kepadamu. Ketika sedang nazak dia memesankan agar dialihkannya ke arah qiblat’. Nabi SAW menjawab; “Dia telah menepati fitrah. Aku pulangkan 1/3 hartanya itu kepada anaknya”. Kemudian Nabi SAW pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya. Baginda berdoa untuknya; “Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia dan masukkanlah dia ke dalam syurgaMu. Sesungguhnya Engkau telahpun melakukannya” (Mustadrak al-Hakim; 1305. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 6604. Status hadis; menurut al-Hakim; hadis ini soheh. Az-Zahabi menyetujuinya).

Diriwayatkan dari Saidina ‘Umar RA bahawa ia memesan anaknya; ‘Apabila aku hampir meninggal, alihkanlah aku ke arah qiblat’. Pesanan yang sama juga ada diriwayatkan dari Saidina ‘Ali RA (al-Fawakih ad-Dawani, 1/283).

2. Namun perkara ini tidaklah perlu dititik-beratkan sangat jika memayahkan orang yang sedang sakit itu atau orang lain (kerana rumah sempit dan sebagainya). Sa’id bin al-Musayyab (seorang Tabi’in terkenal) semasa beliau sakit, orang ramai ingin mengubah kedudukannya. Ia bertanya mereka; ‘Apa yang ingin kamu semula lakukan terhadapku?’. Mereka menjawab kepadanya; ‘Kami ingin mengubah kedudukanmu agar menghadap ke arah qiblat’. Ia menjawab; ‘Bukankah aku dari dulu lagi berada di atas qiblat (yakni berada di atas agama Islam) hinggalah ke hari ini?’ (al-Mughni, Ibnu Qudamah; 2/286).

Berkata Ibnu Hazm; jika dapat diarahkan ke arah qiblat, elok dilakukan. Jika tidak, tidak mengapa mengadap ke manapun kerana Allah berfirman (bermaksud); “Ke mana pun kamu mengadap, di situlah wajah Allah” (surah al-Baqarah, ayat 115). Berkata as-Sya’bi; ‘(Ketika nazak atau baru kematian) kamu boleh sama ada ingin mengalihkannya ke arah qiblat atau tidak mahu mengalihnya. Namun di dalam kubur, pastikan ia mengadap ke qiblat…” (al-Muhalla, Ibnu Hazm, 3/405).

3. Adapun cara menghadapkannya ke arah qiblat itu ada dua cara;
a) Membaringkannya di atas rusuk kanan dengan muka dan dada menghadap ke arah qiblat, iaitu sebagaimana kedudukan mayat dalam kubur. Jika tidak dapat di atas rusuk kanan, di atas rusuk kiri dengan muka dan dada ke arah qiblat.
b) Atau; membaringkannya di atas belakang dengan kaki mengadap ke kiblat dan kepala ditinggikan sedikit (iaitu dengan meletakkan lapik dibawahnya) supaya muka kelihatan mengadap ke qiblat.

Mana-mana satu dari dua cara di atas boleh dilakukan. Namun para ulamak khilaf pada menentukan mana yang terbaik. Jumhur ulamak (merangkumi mazhab Maliki, Hanafi dan kebanyakan ulamak mazhab Syafiie) menyukai cara (a). Jika tidak boleh cara (a), baru cara (b). Imam Abu Muhammad al-Juwaini dan Imam al-Ghazali menyukai cara (b). Berkata; Imam al-Haramain; cara (b) lah yang biasa dilakukan manusia. (Rujukan; al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116. Hasyiyah al-‘Adawi, 1/407).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 5/116.
2. Hasyiyah al-‘Adawi, Abul Hasan al-‘Adawi al-Maliki, 1/407.
3. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/286.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/80 (perkataan; ‘ihtidhar’), 10/299 (perkataan ‘tahwil’).
5. al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283.
6. al-Muhalla bil Atsar, Ibnu Hazm, 3/405.


[1] Sebelum nampak tanda-tanda hendak mati, makruh mengalihkannya ke arah kiblat kerana ia menyakiti orang sakit (al-Fawakih ad-Dawani, Ahmad bin Ghanim al-Maliki, 1/283).

Wednesday, September 18, 2013

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG BUKAN ISLAM

Soalan; ustaz, ingin penjelasan berkenaan hukum memberi daging korban kepada orang kafir. Adakah harus? Adakah hilang pahala korban? Terima kasih.

Jawapan;

Terdapat beza pandangan antara ulamak dalam masalah di atas;

Pandangan pertama; daging korban tidak harus diberikan kepada orang bukan Islam sekalipun kafir zimmi. Ia khusus untuk orang Islam sahaja. Pandangan ini merupakan mazhab Syafiie.[1] Menurut Imam Malik dan al-Laith; makruh memberinya kepada orang bukan Islam[2].

Pandangan kedua; harus memberi daging korban kepada orang kafir zimmi. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Abu Hanifah, Hasan al-Basri, Abu Tsur dan mazhab Hanbali. Pandangan ini juga ditarjih oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’. Menurut pandangan ini; daging binatang korban adalah makanan, maka sebagaimana harus memberi makan orang kafir zimmi, maka harus juga memberi daging korban kepada mereka kerana ia sebahagian makanan. Selain itu, dikiaskan juga kepada keharusan memberi sedekah kepada orang kafir zimmi. Namun menurut mereka; yang harus diberikan ialah dari korban sunat sahaja. Adapun dari korban wajib (iaitu korban nazar), tidak harus diberi dagingnya melainkan kepada orang-orang fakir dari kaum muslimin sahaja (iaitu menyamai hukum zakat dan kaffarah sumpah).

Pandangan ulamak semasa; Syeikh Ibnu Usaimin (ulamak besar Arab Saudi) menegaskan; dibolehkan memberi daging korban kepada orang kafir dengan syarat bukan orang kafir yang memusuhi orang Islam. Dalilnya ialah firman Allah (bermaksud);  “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang (kafir) yang tidak memerangi kami dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu dari menjadikan mereka sebagai kawanku orang-orang (kafir) yang dalam urusan agama dan mengusir kamu dari kampong halamanmu dan membantu orang lain untuk mengusirmu. Sesiapa menjadikan mereka sebagai kawan, mereka itulah orang yang zalim” (surah al-Mumtahanah, ayat 8-9).[3]

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 8/316.
2. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 9/450.
2. al-Iqna’, Syeikh as-Syirbini, 1/593.
3. Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Ibnu Usaimin; 13/2.


[1] Lihat; al-Iqna’, Syeikh as-Syirbini, 1/593.
[2] Menurut Imam al-Laith; makruh memberi daging korban kepada orang bukan Islam, kecuali jika daging itu dimasak kemudian dijemput orang bukan Islam untuk menikmatinya bersama orang Islam, tidaklah makruh (al-Majmu’, 8/316).
[3] Fatawa Nur ‘Ala ad-Darb, Ibnu Usaimin; 13/2.

Thursday, September 5, 2013

MASALAH MAKMUM KETINGGALAN FATIHAH

Soalan; salam tuan, saya ade beberapa soalan untuk pencerahan:
2. solat berjemaah -  individu merupakan jemaah masbuk, katakan individu mengikut imam pada rakaat ke-2 dan tidak dpt menghabiskan bacaan al-fatihah, individu tersebut tidak perlu menghabiskan bacaan tersebut dan perlu rukuk mengikut imam, yang saya ingin dapat kepastian adalah pada rakaat ke-3, sekiranya makmum tersebut masih tidak dpt menghabiskan surah al-fatihah dan imam telah rukuk, perlukah makmum tersebut menghabiskan bacaannya kemudian rukuk mengikut imam ttp jika makmum tidak sempat rukuk bersama imam adakah rakaat tersebut dikira @ masih perlu dilakukan sama seperti rakaat ke-2?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu 'ala Rasulillah.

1. Jika kita tiba ketika imam telah rukuk, terus sahaja bertakbir masuk ke dalam solat (takbiratul ihram), kemudian takbir sekali lagi dan rukuk bersama imam. Ketika ini, gugur al-Fatihah dari kita dan ia ditanggung oleh imam.

2. Jika kita tiba ketika imam hampir rukuk, terus bertakbir masuk ke dalam solat, baca al-Fatihah setakat yang sempat, apabila imam rukuk kita turut rukuk bersama imam, tidak perlu kita menghabiskan fatihah kita kerana baki fatihah kita itu ditanggung oleh imam.

3. Jika kita mengikuti imam dari awal solat, wajib dalam apa keadaan sekalipun kita menghabiskan bacaan al-Fatihah kita. Sekalipun imam telah rukuk, kita wajib menyudahkan bacaan al-Fatihah, kemudian baru rukuk bersama imam. Jika ada keuzuran (iaitu lambat dalam bacaan) diberi kelonggaran kepada kita hingga tiga rukun panjang (iaitu sehingga sebelum imam bangkit dari sujud kedua).[1] Jika kita sempat sujud sebelum imam bangkit dari sujud keduanya, kita masih dikira mendapat rakaat tersebut bersama imam.  Jika tidak sempat, kita dikira telah luput rakaat tersebut bersama imam, maka tidak perlu lagi kita rukuk, akan tetapi terus duduk tahiyyat bersama imam (jika dia duduk tahiyyat) atau tunggu sahaja imam naik ke rakaat berikutnya (jika tidak ada tahiyyat oleh imam) dan mengikuti imam hingga selesai solatnya, apabila imam memberi salam, kita bangun menambah rakaat yang ketinggalan dari imam tadi.

Itu adalah mengikut mazhab Syafiie yang berpandangan; makmum wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjamaah (sebagaimana imam wajib membacanya) kecuali dalam kes makmum masbuq (iaitu kes 1 dan 2 di atas) di mana bacaan al-Fatihahnya ditanggung oleh imamnya bagi dua kes tersebut. Menurut mazhab-mazhab lain ( Hanafi, Maliki dan Hanbali); ketika solat berjamaah, makmum tidak wajib membaca al-Fatihah (hanya disunatkan sahaja). Telah memadai bacaan imam untuknya atau dalam pengertian yang lain; imam menanggung bacaan al-Fatihah untuknya, jadi tidak wajib lagi atasnya. Maka menurut pandangan kedua ini, dalam apa keadaan sekalipun, apabila imam rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya. Tidak perlu makmum menghabiskan bacaan al-Fatihah (sama ada ia mengikuti imam dari awal atau ketika imam telah rukuk atau hampir rukuk) kerana telah ditampung oleh bacaan imamnya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 33/52 (perkataan; “Qira-ah”).
2. al-Mugni, Imam Ibnu Qudamah, 1/394.
3. al-Fiqh al-Manhaji, 1/81.
4. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, Us. Ahmad Adnan Fadzil.


[1] Iktidal dan duduk antara dua sujud adalah rukun pendek. Adapun ruku’, sujud pertama dan sujud kedua adalah rukun panjang. Jadi, apabila makmum masih belum ruku’ tatkala imamnya telah bangkit dari sujud kedua, maka ia telah ketinggalan dari imamnya melebihi tiga rukun panjang, iaitu; ruku’, sujud pertama dan sujud kedua.

BOLEHKAH MELAKUKAN SOLAT SUNAT BA’DIYAH DAN SOLAT WITIR SELEPAS JAMAK TAQDIM MAGHRIB DAN ISYAK?

Soalan; salam tuan, saya ade beberapa soalan untuk pencerahan:
1. solat sunat - bolehkan individu melakukan solat ba'diyah isya' & witir  selepas solat jamak taqdim maghrib dan isya'?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Selepas melakukan solat secara jamak taqdim, kita dibolehkan terus melakukan solat ba’diyah isyak dan juga solat witir berdasarkan fatwa ulamak, antaranya Imam an-Nawawi yang menjelaskan dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin; “Bagi jamak isyak dan maghrib (secara taqdim), mulai dengan mengerjakan kedua solat fardhu (yakni maghrib dan diikuti isyak), kemudian diikuti solat sunat selepas maghrib, kemudian solat sunat selepas isyak, kemudian witir. Bagi jamak zohor dan asar, mulai dengan solat sunat sebelum zohor, kemudian solat zohor, diikuti solat asar, kemudian solat sunat selepas zohor, kemudian solat sunat asar” (Raudhatu at-Talibin, bab al-jam’u baina as-solataini, 1/402).

Solat sunat yang datang selepas solat fardhu, ia mengikut solat fardhu itu sendiri. Oleh kerana dalam jamak taqdim solat fardhu kedua (yakni asar atau isyak) dipercepatkan ke dalam waktu pertama (zohor atau maghrib), maka solat sunatnya juga dipercepatkan kerana mengikuti solat fardhu yang dipercepatkan. Solat witir pula, waktunya ialah selepas menunaikan solat isyak hinggalah solat subuh. Oleh kerana dalam jamak taqdim solat isyak dipercepatkan, maka waktu solat witir juga boleh dipercepatkan iaitu sebaik selesai solat isyak secara jamak taqdim (lihat; al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, bab Solat al-Musafir, 2/207).

Wallahu a’lam.

Wednesday, September 4, 2013

CARA MEWAKILKAN IBADAH KORBAN

Soalan; ASSALAMUALAIKUM. PENYERTAAN 1 BAHAGIAN ( KORBAN=LEMBU) RM400.00 CONTOH.;- JADI JIKA SI AHMAD INGIN AMBIL 1 BAHAGIAN, BAGAIMANAKAH CARA YG SEPATUTNYA DARI MULA BELIAU MENYERAHKAN WANG KEPADA PIHAK PENGURUSAN SESEBUAH MASJID SEHINGGALAH PADA HARI PENYMBELIHAN. SAYA MOHON USTAZ JELASKAN CARA YG SEBETULNYA IAITU CARA BELIAU LAFAZ SEMASA PENYERAHAN WANG ( UNTUK 1 BAHAGIAN/LEMBU), ADAKAH PERLU BELIAU MEYATAKAN SECARA LAFAZ ATAU SEKADAR BERNIAT DAN ADAKAH BELIAU PERLU LAFAZ PADA PIHAK PENGURUSAN MASJID MEWAKILKAN SEPERTI SAYA MEWAKILKAN PIHAK PENGURUSAN MASJID UNTUK MEMBELI LEMBU. SEMASA HARI PENYEMBELIHAN ADAKAH BELIAU PERLU MEWAKILKAN PADA NIAT PADA SI PENYEMBELIH ATAU SEKADAR NIAT SENDIRI SEMASA PENYEMBELIH MENYEMBELIH BINATANG. MOHON PENJELASAN, TERIMA KASIH.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

1. Pastikan al-wakil (pihak orang yang menerima perwakilan) merupakan orang yang dipercayai dan mampu melaksanakan ibadah yang dimaksudkan (iaitu ibadah korban) atau mampu menguruskannya.

2. Melakukan akad taukil (penyerahan) dengan bahasa yang jelas, seperti berkata kepada al-wakil tadi; "Ini duit RM400, belikan untukku binatang korban (1 tompok darinya) dan laksanakan korban bagi pihakku". Jika taukil (penyerahan) turut membabitkan pengagihan daging korban, nyatakan sama; "....dan mengagihkannya bagi pihakku kepada yang berhak/layak menerimanya". Jika ada borang disediakan, mengisi borang bersama penyerahan wang sudah memadai sebagai taukil (penyerahan).

3. Kemudian hendaklah al-wakil menerima taukil (penyerahan) tadi dengan lafaz darinya (seperti ia berkata; 'aku terima') atau dengan perbuatan (seperti menerima wang dan borang tanpa berkata apa-apa).

4. Walaupun telah menyerahkan perlaksaan ibadah korban kepada orang lain, namun disunatkan kepada al-muwakkil (orang yang menyerah) untuk turut hadir menyaksikan penyembelihan korbannya dilakukan. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW kepada Fatimah RA; “Pergilah kepada binatang korban kamu dan saksikanlah dia kerana sesungguhnya dengan titisan pertama darah yang jatuh darinya akan menyebabkan diampunkan untukmu segala dosa kamu yang lalu” (Mustadrak al-Hakim; 7525, dari Abu Sa’id al-Khudri RA).

5. Jika ia dapat hadir sama, hendaklah ia berniat korban ketika melihat binatang korbannya di sembelih. Boleh juga jika ia menyerahkan niat kepada penyembelih. Disunatkan juga ketika melihat binatang korbannya disembelih, ia membaca;

إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهُ رَبِّ الْعَالَمِينَ لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku semuanya untuk Allah Tuhan semesta alam, tiada sekutu bagiNya, dengan yang demikian itulah aku diperintahkan, dan aku adalah dari kalangan orang-orang yang berserah diri kepada Allah” (Mustadrak al-Hakim; 7524, dari ‘Imran bin Hushain RA).

6. Jika ia tidak dapat hadir sama, akad taukil tadi sudah memadai sebagai niat korban bagi dirinya. Tinggal lagi orang yang melaksanakan penyembelihan korban bagi pihak orang lain hendaklah ia berniat korban bagi pihak mereka.  

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Panduan Ibadah Korban, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

CARA MELAKSANAKAN PUASA KAFFARAH 2 BULAN BERTURUT-TURUT

Soalan; Assalamualaikum wbt ustaz. Terima kasih atas penerangan ustaz yang cukup jelas dalam blog ilmu dan ulamak (tentang kaffarah kerana berjimak di siang hari di bulan Ramadhan). Cuma disini saya ada 1 kemusykilan; Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan berpuasa 2 bulan berturut2? Bagaimana jika kita sengaja tidak mahu berpuasa 2 bulan tersebut dan mengambil jalan mudah untuk memberi mkn kpd 60 orang miskin? Adakah dibolehkan? Adakah kita boleh untuk tidak mengikut turutan kafarah yang diwajibkan tersebut? seperti contoh: kita rasa berat untuk berpuasa dua bulan berturut2 tanpa sebab yang kukuh, dan dengan mudah kita terus memberikan makan kepada 60 orang miskin. Saya mohon penjelasan ustaz. Terima kasih ustaz.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

1. Maksud berpuasa dua bulan berturut-turut ialah berpuasa dua bulan secara berterusan tanpa selang sehari pun. Hendaklah memakai bulan Islam (Hijrah). Jika puasa dimulai dari hari pertama bulan, tamat kaffarah dengan berakhir bulan kedua (bergantung kepada kenampakan hilal bagi kedua-dua bulan tersebut. Maka bilangan hari puasa mungkin 58 hari atau 59 hari atau 60 hari). Jika puasa dimulai dari tengah bulan, kekurangan hari pada bulan pertama hendaklah ditampung dalam bulan ketiga dengan menggenapkannya menjadi 30 hari. Adapun bulan kedua bergantung kepada kenampakan hilal (29 hari atau 30 hari). Jika dibuka sehari hendaklah dimulakan semula puasa dari awal sekalipun yang dibuka itu hari terakhir (iaitu hari ke 59 atau 60).

2. Menurut jumhur ulamak (mazhab Hanafi, asy-Syafi‘i dan Hambali); kafarah terbabit bukanlah pilihan akan tetapi ia wajib mengikut urutan, yakni jika seseorang itu mampu melakukan yang pertama(membebaskan hamba) maka itulah yang wajib atasnya. Jika tidak mampu yang pertama, barulah pergi kepada yang kedua (berpuasa dua bulan). Jika tidak mampu yang kedua, barulah pergi kepada yang ketiga (memberi makan 60 orang miskin). Oleh sebab pada zaman ini hamba sudah tidak ada lagi, maka yang tinggal hanyalah dua; puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan 60 orang miskin ( jika tidak mampu berpuasa).

Namun menurut mazhab Imam Malik, kafarah tersebut ialah pilihan yakni tidak wajib mengikut urutan. Yang wajib adalah melakukan salah satu daripada tiga perkara tersebut.

3. Merujuk kepada soalan; maka berdasarkan pandangan jumhur, selagi mampu berpuasa tidak terus harus pergi kepada memberi makan fakir miskin. Hanya apabila tidak mampu berpuasa barulah boleh berpindah kepada memberi makan. Maksud tidak mampu ialah; dengan berpuasa menyebabkan kepayahan pada diri yang tidak terpikul pada kebiasaannya. Jika dalam tempoh dua bulan seseorang itu mendapati ia hanya mampu untuk berpuasa pada sebahagian harinya sahaja (yakni tidak mampu mencukupkan dua bulan), ia dikira tidak mampu secara keseluruhannya dan boleh terus berpindah kepada memberi makan fakir/miskin.

Untuk perjelasan lebih lanjut tentang kaffarah (dan juga hukum-hakam lain tentang puasa) sila dapatkan buku saya; A-Z Soal Jawab Puasa (terbitan Telaga Biru).

Wallahu a'lam.    

Rujukan;

1. Syarah al-Baijuri 'Ala Ibnu Qasim, 2/309.

Monday, September 2, 2013

BEZA ANTARA MAZI DAN MANI

Soalan; assalamualaikum ustaz, sy ingin bertanya tentang beza di antara kedua cecair tersebut (mazi dan mani). Sy seorang perempuan yang belum berkahwin. Sy mempunyai masalah keputihan dimana sy menggunakan pantiliner setiap masa. Adakah air mazi keluar jernih manakala air mani keluar kekuningan? Ini disebabkan sy telah membaca buku dan internet dimana terdapat pelbagai deskripsi dan sukar juga bagi sy untuk membezakan keduanya lagi2 kerana sy mempunai masalah keputihan yg berbau.. Adakah air mazi keluar hanya disebabkan syahwat? dan apakah syahwat itu adalah hanya apabila berimaginasi bukan2 tentang lelaki atau perempuan? Atau adakah cecair mazi boleh keluar tanpa berimaginasi bukan2? seperti jika kita berasa cemas adakah mazi boleh keluar? Sy juga selalu was-was tentang perkara ini menyebabkan sy mandi wajib 2,3 kali sehari. Kadang2 terbayangkan bukan2 tanpa sedar dan tak diingini tak keluar air dan kdg2 tanpa terbygkn tapi merasa cemas takut air mani keluar yg sy sedar ade cecair keluar. Sy harap ustaz boleh membantu sy. terima kasih.

Jawapan;

Bismilillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Bagi insan normal, air mazi dan air mani hanya keluar ketika syahwat. air mazi ketika sedang syahwat dan air mani pula ketika kemuncak syahwat. Mazi cairan nipis dan melekit, mani pula kental. Syahwat boleh timbul kerana hubungan suami isteri, berkhayal, melihat perkara yang menimbulkan syahwat atau sebagainya.

Tanpa syahwat, mungkin cairan yang keluar itu kecing, keputihan, peluh atau air wadi. Cairan-cairan itu keluarnya tidak memerlukan mandi, memadai membasuhnya sahaja dan mengambil wudhuk sebelum solat. Untuk penjelasan lanjut sila baca dalam blog saya; ( http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/air-yang-keluar-dari-kemaluan-wanita.html) atau taip sahaja "mani" di bahagian carian/search, insya Allah lebih banyak jawapan ditemui.

Wallahu a'lam.

Sunday, September 1, 2013

SEMBAHYANG DUA JAMAAH DALAM SATU MASJID

Soalan; saya nak tanya ustaz di surau saya ni ada 2 kumpulan semasa sembahyang subuh satu kumpulan sembahyang beriman awal dan satu kumpulan lagi datang lewat dan  semasa kumpulan pertama masih lagi sembahyang berjemaah dalam rakaat kedua kumpulan ke 2 tak ikut serta berjemaah tapi mereka ni sembahyang sunat dan kemudian berjemaah bagi kumpulan mereka ,apakah hukum nya ?,untok pengetahuan ustaz kumpulan1  menunggu selama 15 minit ,dan kerana  kumpulan 2 ni mereka terlambat mereka tak sempat sembahyang sunat kata nya rugi tertinggal sunat .bolih kah ustaz jelas kan apakah hukum nya.?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Ada beberapa kesalahan dilakukan oleh kumpulan tersebut;

1. Menyebabkan berlakunya dua jamaah dalam satu masjid secara disengajakan. Ia bertentangan dengan sunnah Nabi SAW (iaitu hanya satu jamaah sahaja yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW dalam masjidnya, begitu juga yang menjadi amalan para sahabat selepas baginda) di samping ia memecah belahkan kaum muslimin dalam rumah Allah.

2. Melakukan solat sunat sedang solat fardhu telah didirikan; ia bercanggah dengan arahan Nabi SAW; “Apabila telah diiqamahkan, tidak ada solat melainkan solat fardhu” (Soheh Muslim; 710/63, dari Abu Hurairah RA).

Berkata ulamak –berdalilkan hadis ini-; jika kita sedang melakukan solat sunat dalam masjid, tiba-tiba terdengar laungan iqamah, hendaklah kita segera menyudahkan solat sunat kita jika kita telah berada dalam rakaat kedua. Adapun jika baru berada dalam rakaat pertama, hendaklah kita menamatkan solat sunat itu dan segera mengikuti imam mengerjakan solat fardhu, kerana jika kita meneruskan solat sunat tersebut akan menyebabkan kita akan terlepas solat berjamaah dengan imam dari awal (kerana lagi awal kita dapat mengikut imam, lagi afdhal).

3. Jika kita tiba di masjid ketika imam telah berada di hujung solat; mana yang terbaik; antara terus bertakbir dan masuk dalam jamaah sedia ada, atau kita menunggu imam memberi salam dan mengadakan jamaah yang baru bersama orang-orang lain yang baru tiba bersama kita (jika ada)? Menurut ulamak; yang terbaik ialah terus bertakbir untuk masuk ke dalam jamaah sedia ada, berdalilkan sabda Nabi SAW; “Apabila kamu datang kepada solat berjamaah, janganlah datang dengan tergesa-gesa, akan tetapi berjalanlah dengan tenang. Apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam). Apa yang kamu ketinggalan, sempurnakanlah (sendirian)”. Arahan Nabi SAW; “Apa yang kamu sempat, sembahyanglah (bersama imam)” adalah umum, yakni merangkumi juga keadaan di atas. Maka jika kita menunggu imam sedia memberi salam untuk kita melakukan jamaah yang baru, kita telah menyalahi arahan Nabi SAW supaya mengikuti imam yang sedia ada pada rakaat yang sempat dan menyempurnakan secara sendirian bagi rakaat yang ketinggalan. (Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid, 31029).

4. Menyedari perkara di atas, tidak harus kita beralasan “rugi tertinggal sunat” untuk kita meninggalkan solat berjamaah sedia ada bagi melakukan solat sunat kerana perbuatan tersebut bercanggah dengan arahan Nabi SAW. Lagipun solat sunat yang tertinggal itu boleh diqadha pada masa lain jika benar kita rasa rugi meninggalkannya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com); 127293, 87847, 33582, 31029.

Thursday, August 29, 2013

MENGAMBIL WUDHUK SAMBIL MANDI SHOWER


Soalan; salam, saya mandi shower, sambil mandi shower itu saya terus ambil wuduk. bolih tak?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.

Sah ambil wudhuk bersama mandi itu jika diratakan air ke seluruh anggota wudhuk dengan niat wudhuk dan mengikut tertib, iaitu bermula dengan membasuh muka, diikuti tangan ke siku dan seterusnya. Namun mengambil wudhuk sebegitu makruh hukumnya kerana menyebabkan penggunaan air yang banyak (pembaziran).

Abdullah bin ‘Amru RA menceritakan; Rasulullah SAW telah terserempak dengan Saad RA yang sedang mengambil wudhuk (dengan menggunakan air yang banyak). Lantas baginda menegurnya; “Pembaziran apakah ini wahai Sa’ad?”. Sa’ad menjawab; “Apakah dalam mengambil wudhuk juga dikira pembaziran?”. Rasulullah menjawab; “Ya! Sekalipun engkau berada di sungai yang mengalir” (Musnad Imam Ahmad; 7065. Sunan Ibnu Majah; 425. Status hadis; dhaif).

 Wallahu a'lam.

SATU WUDHUK UNTUK BERAPA SOLAT?

Soalan; asalamualaikum. berapa lama kah kita bolih masih berada dalam wuduk, selagi tidak melanggar perkara2 yg bolih membatalkan wuduk,bolihkah terus dari zohor ke asar,atau maghrib ke isyak?...wassaalam

Jawapan;

Bismillah walhamdulillah wassolatu ala Rasulillah,

Selagi tidak berlaku perkara yang membatalkan wudhuk, selagi itu boleh mengerjakan solat dengan wudhuk yang sama seberapa banyak solat sekalipun. Namun disunatkan memperbaharui wudhuk setiap kali ingin mengerjakan solat fardhu kerana ia menjadi amalan Nabi SAW sebagaimana diceritakan oleh Anas bin Malik RA; "Nabi SAW mengambil wudhuk setiap kali baginda mengerjakan solat (fardhu). Adapun kami, kami mengerjakan semua solat dengan wudhuk yang sama selagi tidak berhadas" (Soheh al-Bukhari; 214. Jami' at-Tirmizi; 60). Ada juga diriwayat Nabi SAW bersabda; "Sesiapa mengambil wudhuk ketika dalam suci (tidak berhadas), Allah menulis untuknya 10 kebajikan" (Jami' at-Tirmizi; 59, dari Ibnu 'Umar RA. Status hadis; dhaif).

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi.

Friday, August 23, 2013

SOLAT TAUBAH BERJAMAAH

Soalan; Assalammualaikum ustaz... Hamba nak tanya ni.. Bolehkah solat taubat di lakukan berjemaah?

Jawapan;

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah melakukan solat tahajjud, dhuha, taubah, hajat, istikharah dan sebagainya secara berjamaah, iaitu solat-solat yang disyariatkan secara bersendirian. Menurut Imam an-Nawawi; asalkan suatu ibadat itu ada disyariatkan walaupun secara bersendirian, harus jika ingin dilakukan secara berjamaah. Antara dalilnya ialah; 

1. Hadis Ibnu 'Abbas RA yang menceritakan; Dia pernah mengikut Nabi SAW mengerjakan solat malam (qiyamullail) di rumah baginda, iaitu berjamaah dengannya (Lihat; Soheh al-Bukhari; 183. Muslim; 763/181).

2. Hadis Anas bin Malik RA yang menceritakan; Aku, seorang budak yatim dan ibuku (Ummu Sulaim) telah mengerjakan solat berjamaah di belakang Nabi SAW di rumah kami. Aku  dan budak yatim berdiri di belakang Nabi SAW dan ibuku berdiri di belakang kami) (Soheh al-Bukhari; 727, 871. Muslim; 658/266).
3. Hadis 'Itban bin Malik RA yang menceritakan; Nabi SAW datang kerumahnya dan berkata; 'Di mana tempat di rumahmu yang kamu suka aku solat di situ?". Aku menunjukkan satu tempat. Lalu baginda bertakbir (melakukan solat) dan kami membuat saf di belakangnya (yakni turut berjamaah dengannya). Baginda solat sebanyak dua rakaat. (Soheh al-Bukhari; 424. Muslim; 263/33).

Solat-solat yang dilakukan Nabi SAW dalam hadis di atas ialah solat-solat sunat kerana baginda tidak pernah melakukan solat fardhu melainkan di masjid. Imam an-Nawawi menjelaskan; “Solat-solat selain solat hari raya, solat gerhana, solat istisqa’, solat terawih dan witir selepasnya –seperti solat-solat sunat rawatib, dhuha dan sunat-sunat mutlak- tidak disyariatkan berjamaah, yakni tidak disunatkan berjamaah, namun jika dilakukan secara berjamaah dibolehkan dan tidak dianggap makruh” (al-Majmu’, 4/55).

Sebahagian ulamak hanya mengharuskannya jika dilakukan sekali sekali (bukan berterusan), iaitu untuk tujuan belajar atau membiasakan diri sahaja, bukan dengan menjadikannya sebagai kebiasaan, kerana Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah menjadikannya sebagai kebiasaan mereka (Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi (1/356).

Wallahu a'lam.

Wednesday, August 21, 2013

PUASA PADA HARI JUMAAT SECARA TUNGGAL DALAM BULAN SYAWAL

Soalan; As'salamualaikum. Ustaz, saya ingin bertanya satu soalan : saya sedang melakukan puasa sunat 6 syawal bermula, hari Selasa dan Rabu tetapi hari khamis saya tidak sambung berpuasa, tetapi saya ingin menyambung semula hari Jumaat tetapi hari sabtu saya tidak sambung puasa tersebut.Persoalannya adakah dibenarkan dalam islam jika puasa hari jumaat sahaja tidak disambung dengan khamis atau Sabtu. Mohon penjelasan dari yang berbahagia Ustaz. terima kasih.

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Berpuasa pada hari jumaat secara tunggal dilarang oleh Nabi SAW dalam hadisnya; "Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali ia telah berpuasa sebelumnya atau berpuasa selepasnya" (Soheh al-Bukhari; 1985, dari Abu Hurairah RA). Juwairiyah binti al-Harits RA (isteri Nabi SAW) menceritakan: Nabi SAW telah masuk menemuinya pada hari Jumaat. Pada hari itu ia (yakni Juwairiyah) sedang berpuasa. Lalu Nabi bertanya kepadanya, “Adakah kamu telah berpuasa kelmarin?” Juwairiyah menjawab, “Tidak.” Nabi bertanya lagi, “Adakah kamu ingin berpuasa besok?” Jawabnya, “Tidak.” Maka Nabi berkata kepadanya, “Berbukalah” (Soheh al-Bukhari; 1986).

Menurut ulamak; larangan dalam hadis di atas adalah larangan makruh, bukan larangan haram. Dari pemerhatian saya, tidak ada ulamak yang mengecualikan larangan tersebut pada bulan Syawal. Oleh itu, sebolehnya kita mengelak dari berpuasa pada hari jumaat secara tunggal termasuk dalam bulan Syawal. Namun jika kita melakukannya, puasa masih sah, kerana puasa makruh masih sah walaupun tidak digalakkan.

Wallahu a'lam.

Monday, August 19, 2013

BERMUSAFIR PADA HARI JUMAAT

Soalan;

Assalammualaikum Ustaz, semoga sihat sejahtera. Di sini, saya mohon pendapat mengenai solat bagi orang yang bermusafir. Situasi adalah seperti berikut -

1) Saya menaiki penerbangan pada hari Jumaat. Bertolak dari Kuala Lumpur jam 10 pagi dan tiba di Alor Setar jam 10.45 pagi. Adakah saya perlu mengerjakan solat Jumaat atau cukup sekadar solat Zuhur?

2) Saya menaiki penerbangan pada hari Jumaat. Semasa solat Jumaat sedang berlangsung, saya masih berada di dalam kapal terbang. Apabila tiba di destinasi, adakah cukup sekadar saya mengerjakan solat Zuhur sahaja?

Sekian, diharap ustaz dapat membantu dalam perkara tersebut. Terima kasih.

Jawapan;


Bismillah, walhamdulillah, wassolatu 'ala Rasulillah.

Soalan di atas menyentuh hukum bermusafir pada hari jumaat. Solat jumaat sebagaimana sedia diketahui adalah wajib ke atas lelaki muslim. Telah disepakati oleh para ulamak bahawa haram orang yang wajib atasnya solat jumaat bermusafir apabila telah masuk waktu jumaat iaitu apabila matahari telah tergelincir dari tengah langit pada hari jumaat. Adapun bermusafir sebelum itu, terdapat khilaf (beza pandangan) antara ulamak;

a) Menurut mazhab Syafiie; haram bermusafir pada hari jumaat setelah terbit fajar (masuk waktu subuh) sekalipun waktu jumaat belum masuk, kecualilah jika yakin dapat mengerjakan solat jumaat di tengah perjalanan atau di tempat tujunya, maka tidaklah haram bermusafir. Dikecualikan juga kepada orang yang terpaksa bermusafir kerana takut ketinggalan rombongannya, harus baginya bermusafir sekalipun terpaksa meninggalkan solat jumaat.

b) Menurut jumhur ulamak (mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali); tidak diharamkan bermusafir pada hari jumaat selagi belum masuk waktunya (yakni sebelum tergelincir matahari pada hari jumaat), kerana solat jumaat hanya wajib apabila telah masuk waktunya. Saidina ‘Umar RA pernah berkata; “Jumaat tidak menghalang dari musafir” (al-Mughni, Imam ibnu al-Qudamah). Namun demikian, menurut mazhab Maliki dan Hanbali; walaupun tidak diharamkan, makruh hukumnya.

Merujuk kepada soalan di atas; berdasarkan mazhab Syafiie kewajipan solat jumaat tidak gugur dari saudara kerana saudara bermusafir selepas fajar pada hari jumaat (iaitu jam 10 pagi), maka wajiblah saudara mengerjakan solat jumaat di perjalanan atau bila tiba di destinasi. Adapun mengikut jumhur ulamak, kewajipan jumaat gugur dari dari saudara kerana saudara bermusafir sebelum masuk waktu solat jumaat.

2. Untuk soalan kedua; orang yang tidak dapat menunaikan solat jumaat, hendaklah dia menggantikannya dengan solat zohor.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. fatawa as-Syabakah al-Islamiyah, 26271.
2. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/40 (perkataan ‘safar’). 3. al-Mughni, Imam Ibnu al-Qudamah, 2/228-229.

Sunday, September 30, 2012

MELAKUKAN AQIQAH DENGAN DUA EKOR KAMBING BERPERINGKAT

Soalan; Assalamualaikum, Akikah utk Baby lelaki. Boleh tak majlis akikah buat 2 Kali; Majlis akikah yg pertama seekor kambing, Majlis akikah yg ke 2 (Hari yg berbeza) seekor lagi kambing ...Atau 1 bahagian lembu. Terima kasih

Jawapan;

Aqiqah untuk anak lelaki disunatkan dua ekor kambing sebagaimana dalam hadis; “Bagi anak lelaki dua ekor kambing yang sekufu dan bagi anak perempuan seekor kambing” (HR Imam Abu Daud dari Ummu Kurzi al-Ka'biyah RA. Sunan Abu Daud, 2834). Menurut ulamak mazhab Syafiie; harus dilakukan juga dengan dua tumpuk lembu. (lihat jawapan sebelum ini; Hukum Aqiqah dengan lembu).

Sebaik-baiknya dua ekor kambing (atau dua tompok) itu dilakukan bersama kerana dapat segera terhasil pahala beraqiqah dengan dua ekor kambing sebagaimana yang disunatkan oleh Nabi SAW bagi anak lelaki tadi. Namun jika hendak dilakukan seekor dulu, tidaklah dilarang kerana menurut ulamak; sekalipun aqiqah untuk anak lelaki digalakkan dua ekor kambing, namun jika dilakukan seekor sahaja ia adalah sah dan terhasil pahala aqiqah. Nabi SAW sendiri walaupun menggalakkan dua ekor, tetapi baginda hanya melakukan seekor sahaja untuk cucunya. Ibnu 'Abbas RA menceritakan; “Rasulullah SAW melakukan aqiqah bagi Hasan RA dan Husain RA dengan (menyembelih) seekor kibas (untuk Hasan) dan seekor kibas lagi (untuk Husin)” (HR Imam Abu Daud. Sunan Abu Daud, 2841).


Apabila telah dilakukan seekor, kemudian dilakukan lagi seekor maka yang kedua dianggap penyempurnaan bagi aqiqah yang pertama, namun pahalanya tidak sama dengan yang pertama kerana ibadah aqiqah -apabila telah tiba waktunya- lagi segera/cepat dilaksanakan, lagi baik.

Masa terbaik melakukan Aqiqah ialah pada hari yang ke tujuh bayi dilahirkan (hari lahir dihitung sebagai hari pertama jika dilahirkan siang hari). Saidatina 'Aisyah RA menceritakn; “Nabi SAW melakukan aqiqah untuk Hasan dan Husin pada hari ketujuh, baginda memberi nama kepada mereka berdua dan baginda menyuruh supaya dibuang kekotoran dari kepala mereka berdua (yakni dicukur rambut mereka)” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim dengan sanad yang baik menurut Imam Nawawi. Lihat; al-Majmu’, jil. 8, hlm. 320).

Menurut ulamak; Jika tidak dapat dilakukan pada hari ke tujuh, disunatkan dilakukan sebelum habis tempoh nifas. Jika selepas selesai nifas masih belum dilakukan, maka disunatkan sebelum putus menyusu. Jika belum dilakukan juga, maka disunatkan sebelum berumur tujuh tahun. Jika masih juga belum dilakukan, maka disunatkan sebelum mencapai umur baligh. Jika setelah sampai umur baligh masih belum lagi diaqiqahkan, maka gugur sunat tersebut dari wali/penjaga dan ketika itu diberi pilihan kepada bayi untuk melakukan aqiqah bagi dirinya (apabila ia dewasa). (Kifayatul-Akhyar, hlm. 534).

Wallahu a'lam.